2 April 2011 - 19:30

Mufti Mesir ketika memberi amaran keras terhadap serangan makam kepala saidina Husain berkata, "Wahai orang kotor yang tidak punya malu, semoga tuhan memotong kakimu, kami berlepas diri dari orang seperti kamu".

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Dalam khutbah Jumaat di Masjid jami' al-Azhar baru-baru ini, mufti Mesir Dr. Ali Jum'ah memberi amaran keras terhadap pengganas yang berhasrat merosakkan makam kepala Saidina Husain. Beliau berkata, "Semua tempat yang berkaitan dengan Ahlul Bait adalah keberkatan kepada rakyat Mesir, Allah akan membalas mereka yang berhasrat menyerang tempat-tempat Ahlul Bait di Mesir".

Beliau sambil menyatakan kesilapan Wahabi dalam beberapa peristiwa, berkata, "Tidak ada seorang pun daripada sahabat berhasrat ingin memusnahkan Masjid Nabawi yang makam Rasulullah di dalamnya. Maka bagaimana individu seperti ini terlintas di fikirannya ingin memusnahkan masjid dan makam nabi?"

Tentang individu yang ingin memusnahkan makam kepala saidina Husain di Kaherah, beliau berkata"Saya memberi ucapan di sini, dari masjid Jami' Al-Azhar kepada individu seperti ini, wahai orang kotor yang tidak punya malu, semoga tuhan memotong kakimu, kami berlepas diri daripada orang seperti kamu".

Amaran keras ini disambut dengan teriakan dan laungan slogan daripada para jemaah.

Golongan ekstrimis Wahabi di Mesir baru-baru ini telah mengancam untuk memusnahkan beberapa tempat permakaman tokoh-tokoh Islam ketika Mesir dilanda kemelut politik. Sementara itu Majma' Buhuth al-Islamiyah di Universiti al-Azhar turut mengeluarkan pernyataan mengecam tindakan ekstrim Wahabi ini sambil mewartakan fatwa rasmi mereka.